Friday, December 10, 2010

SPRM tahan 719 orang awam

Utusan Malaysia hari ini melaporkan jumlah tangkapan orang awam disebabkan penglibatan mereka dengan rasuah. Bagus. Walau bagaimanapun adalah diharapkan SPRM akan meningkatkan lagi usaha mereka dalam membenteras rasuah dan segala yang berkait dengannya demi meningkatkan integriti perkhidmatan awam dan juga negara. Mungkin SPRM mesti melakukan pemantauan ke atas semua jabatan-jabatan kerajaan yang terdedah kepada rasuah bukan sahaja memberi penekanan kepada penguatkuasa undang-undang yang terdedah kepada sogokan.

Penekanan kepada penyalahgunaan kuasa dan peruntukan juga harus disiasat kerana ianya boleh berlaku di semua jabatan-jabatan kerajaan seperti pejabat tanah, jabatan masyarakat, jabatan pendidikan dan sebagainya. Harus diingat bahawa jabatan-jabatan awam ini merupakan kaki dan tangan kerajaan yang menjalankan dasar kerajaan. Jika tiada integriti di jabatan-jabatan, maka rakyat akan memandang serong kepada dasar kerajaan walaupun sebagus manapun dasar itu.

Saturday, October 23, 2010

Harapkan Bukan Sekadar Rhetorik

Perhimpunan Agung UMNO kali ini nampak tegas dengan ucapan-ucapan berapi dari pemidato-pemidato yang nampaknya sangat bersemangat mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Dari DS Najib hinggalah ke KJ. Apa yang diharapkan ialah supaya cakap-cakap mereka ini dikotakan dalam bentuk perbuatan yang konkrit dan bukan sekadar halwa telinga untuk menenangkan hati orang-orang Melayu Islam di Malaysia ini yang semakin dihimpit oleh kaum-kaum lain.

Kajian kebolehpercayaan yang dilakukan tidak lama dulu(lupa agensi yang menjalankannya) menunjukkan bahawa kebolehpercayaan ahli politik berada pada tahap yang paling rendah. Pepatah Inggeris menyatakan "talk the walk, walk the talk". Maka jika kata-kata pemimpin UMNO di PAU kali ini direalisasikan, mungkin nasib Melayu Islam akan terjamin di bumi mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, membaca ucapan yang disampaikan KP UMNO, KJ, banyak kegusaran timbul kerana ada beberapa pernyataan yang pada pandangan peribadi saya, seolah-olah masih menyalahkan Melayu Islam dalam masalah integrasi di Malaysia. Ucapannya itu seolah-olah Melayu Islamlah yang bertanggungjawab dengan kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Jika ini datang dari KP UMNO sendiri maka beliau perlu belajar sejarah Malaysia semula dan menilai dengan rasional siapakah yang sebenarnya berkeras mewujudkan sekolah jenis kebangsaan dan siapakah yang sebenarnya tidak mahu bersatu padu. Mungkin KJ bukan hasil pendidikan Malaysia tetapi pendidikan luar negara, maka mungkin sedikit rasa simpati di hatinya kepada Melayu Islam yang merupakan rakyat jati Malaysia.

Amatlah diharapkan UMNO tidak menjadi parti elitist yang renggang hubungannya dengan rakyat biasa yang hidup dalam kesusahan dan ketidaktentuan disebabkan arus politik yang semakin banyak berubah. Satu kaedah perlu di cari untuk menyedarkan minda orang-orang Melayu Islam yang sebenarnya masih jauh kebelakang berbanding dengan kaum-kaum lain. Nasib pribumi Malaysia yang lain juga jangan sesekali dilupakan.

Ke Manakah Tujuan Generasi Baru Melayu?

Setiap hari kita disajikan dengan berita-berita mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat melayu dan Islam di Malaysia. Kes-kes pembuangan anak, kes-kes jenayah dan pelbagai lagi masalah sosial semakin membelenggu masyarakat Melayu Islam. Pemerhatian yang dibuat ke atas generasi baru Melayu Islam akan menakutkan minda dan hati kita. Kemanakah arah tujuan generasi baru Melayu Islam? Kenapa keruntuhan moral seakan-akan terlalu banyak menghimpit masyarakat Melayu Islam? Adakah Melayu Islam sudah lupa asal-usul mereka? Adakah mereka sudah lemah ilmu dan pegangan Islam mereka? Adakah mereka sudah kehilangan pegangan moral dan adat yang sekian lama menjadi tunjang bangsa? Adakah ini salah generasi lama?

Terlalu banyak persoalan yang perlu dirungkai. Mungkin kita perlu membuat kajian terperinci untuk menjawab segala macam persoalan yang bermain di kotak fikiran kita. Apa nasib bangsa Melayu di masa akan datang sekiranya segala macam masalah-masalah ini tidak diselesaikan? Apa nasib Islam di negara tercinta ini jika pegangan Islam sudah terlalu lemah disebabkan perpecahan di kalangan kita?...

Siapa yang perlu bertindak?